December 26, 2010

AMMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR


بِسْمِٱللَّهِٱلرَّحْمَـٰنِٱلرَّحِيم


Menyentuh pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar, umat Islam terbahagi kepada dua ekstrim. Ekstrim pertama adalah mereka yang menelantarkan pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar, sama ada kerana tidak tahu tentangnya, menganggap ia adalah urusan pemerintah semata-mata atau kerana terpengaruh kepada pemikiran hak asasi manusia (human rights) yang kini mula mendapat tempat sebagai agama terbaru dunia mutakhir. Pemikiran ini antara lain menerangkan bahawa melakukan yang baik (ma’ruf) atau yang buruk (mungkar) adalah hak masing-masing individu. Seseorang itu tak perlu campur tangan hak orang lain sama ada untuk menyuruh dia melakukan yang ma’ruf atau melarangnya daripada melakukan yang mungkar.

Ekstrim kedua adalah mereka yang melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar, akan tetapi tanpa memerhatikan syarat-syaratnya. Mereka adalah orang-orang Islam yang sayangkan agama dan umatnya serta ingin mengembangkan yang ma’ruf dan menyusutkan yangmungkar di tengah-tengah masyarakat yang bergelombang dengan pelbagai cabaran luar dan dalam. Akan tetapi semangat mereka mendahului ilmu dan kematangan sehingga usaha mereka melahirkan hasil yang sebaliknya, yang ma’ruf tetap pada tahap yang minimum manakala yangmungkar tetap kekal atau malah bertambah lagi.

Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: "Seutama-utama amal ialah amar ma'ruf dan nahi mungkar (menganjurkan kebaikan dan mencegah kejahatan), dan membenci orang yag fasiq (melanggar hukum). Maka siapa yang menganjurkan kebaikan bererti memperkuat orang mukmin dan siapa mencegah mungkar bererti menghina orang munafiq.

Abul-Laits berkata: "Seorang yang akan menjalankan amar maruf dan nahi mungkar harus melengkapi lima syarat iaitu:

1. Berilmu, sebab orang yang bodoh tidak mengerti maruf dan mungkar

2. Ikhlas kerana Allah s.w.t. dan kerana agama Allah s.w.t.

3. Kasih sayang kepada yang dinasihati, dengan lunak dan ramah tamah dan jangan menggunakan kekerasan sebab Allah s.w.t. telah berpesan keppada Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. supaya berlaku lunak kepada Fir'aun

4. Sabar dan tenang, sebab Allah s.w.t. berfirman yang berbunyi: "Wa'mur bil ma'rufi wanha anilmunkar wash bir ala maa ashabaka." Yang bermaksud: "Anjurkan kebaikan dan cegahlah yang mungkar dan sabarlah terhadap segala penderitaanmu."

5. Harus mengerjakan apa-apa yang dianjurkan supaya tidak dicemuh orang atas perbuatannya sendiri sehingga tidak termasuk pada ayat yang berbunyi: "Ata'murunannasa bil-birri watansauna anfusakum." Yang bermaksud: "Apakah kamu menganjurkan kebaikan kepada orang lain tetapi melupakan dirimu sendiri."

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendaklah dengan lisannya (mulutnya). Jika tidak mampu, hendaklah dengan hatinya (iaitu membenci kemungkaran yang berlaku) dan itulah selemah-lemah iman” (Hadis riwayat Muslim).

Jika di kalangan kaum Muslimin hari ini tidak mempunyai sebarang usaha untuk mengubahnya, bahkan dengan hati pun jauh sekali ingin melakukannya di samping langsung tidak mengambil peduli tentang keadaan umat Islam di seluruh dunia, ini bererti menyelimuti seluruh umat manusia. Dan akhirnya, pintu azab Allah SWT yang sangat pedih akan terbuka. Sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud):

“Demi jiwaku yang berada di dalam genggamanNya, hendaklah kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Atau jika tidak, Allah akan menurunkan azab ke atas kamu semua, kemudian kamu berdoa kepadaNya, maka doa kamu tidak dikabulkan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Surah Ali ‘Imran ayat 110:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. “

"Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun."

Ayuh... saudara & saudari yang dikasihi.

Marilah kita sama-sama melaksanakan perkara yang disuruh (makruf), dan meninggalkan perkara yang dilarang (mungkar).. semoga kita berada dibawah lembayung rahmat Allah s.w.t... dan sentiasa berada diatas landasan kebenaran..

Wallaahu Ta’ala ‘alam..


No comments:

Post a Comment